Tuesday, April 6, 2010

070410 Adab Sebelum Tidur


ADAB SEBELUM TIDUR


Assalamualaikum W.M.T dan salam hormat,

Mengambil peluang yang ada ini, suka untuk saya berkongsi amalan adab sebelum tidur dalam usaha kita mencari keredhaan ALLAH walaupun ketika ‘mati sementara’ ini.

Amalan adab sebelum tidur ini adalah satu amalan yang makin luput dari skop minda manusia.

Mungkin kita lupa bahawa Rasullullah S.A.W menjaga adab sebelum tidur ini, baginda insan Kamil, Ma’sum tetapi kita, MasyaALLAH terasa malunya jika sunnah yang mudah ini kita abaikan.

Amalan sebelum tidur ini saya terima dari datuk saya.

Antara fadhilat yang pernah datuk saya terangkan:

1) Jika amalkan sebelum tidur, insyaALLAH akan terlindung dari kecurian, kebakaran , mala petaka ketika tidur dan yang paling penting ‘Mati meragam’, NauzubILLAH.

2) Jika ada pencuri tegar masuk ketika kita tidur, keesokan pagi kita akan dapat melihat acara ‘renang gaya bebas’ di atas lantai dalam rumah kita yang dipersembahkan oleh pencuri tersebut. Jika terjadi sedemikian, jangan dihebohkan malahan lepaskan pencuri tersebut bersama dengan hadiah yang berbentuk makanan. Kenapa? Kerana ada perut yang perlu diisikan.

3) Keluarga terhindar dari niat jahat makhluk sama ada jin ataupun manusia.

4) Dan fadilat selainnya adalah dari ALLAH jua.

Para pembaca yang dihormati sekalian,

Harus diingati dan ditetapi, janganlah kita beramal kerana mengejar fadhilat. Beramallah IKHLAS kerana ALLAH untuk mendapat keredhaan dan rahmat ALLAH, kerana itulah yang paling penting bagi kita sebagai hamba di sisiNYA.

Di bawah adalah adab/ amalan sebelum tidur:

a. Wudhuk

b. BasmALLAH 21x ( 3x, dilakukan 1x satu nafas). Lepaskan nafas perlahan-lahan dengan kalimah ‘HU’..


c. Tadahkan tangan seperti berdoa, lunjurkan kaki kemudian bacalah surah-surah dibawah.

d. Al-Fatihah 1x

e. Ayat Kursi 1x

f. Al –Ikhlas 1x

g. Al- Falaq 1x

h. An-Nas 1x

i. Selepas selesai baca, hembuskan ke tangan sehingga habis nafas kemudian gosok ke seluruh anggota tubuh tanpa mengangkat tangan (kecuali kemaluan dan tapak kaki).

j. Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W 10x

k. Mengucap 2 kalimah syahadah

l. Rebahkan diri ke tilam empuk anda, ucapkan 2 Kalimah syahadah sekali lagi bersama dengan pengertiannya di dalam bahasa yang kita fahami.

InsyaALLAH, semoga tidur anda di dalam perlindungan ALLAH.

Credit: http://terapi-alfatah.blogspot.com/search/label/Amalan

070410 Solat Berjemaah




Pengertian solat jemaah

Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.

Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.

Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:

1. Fardhu ain pada solat Jumaat;
2. Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan
3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.

Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

Selepas ini insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan solat berjemaah.

Wallahu a’lam.

070410 Amalan Elak Penyakit Berjangkit




Assalammualaikum WMT dan salam hormat,

AlhamduLILLAH, syukur ke hadrat ALLAH atas pemberian nikmat yang tidak terhingga, yang sehingga ke hari ini saya dan keluarga masih mampu menyebut namaNYA dan nama kekasihNYA dalam mencari rahmat dan redhaNYA.

Betapa kasihnya ALLAH pada hamba kerana sentiasa memberi peluang kepada hambaNYA untuk terus bertaubat dek lantaran umat Muhammad S.A.W adalah umat yang lemah dan sentiasa membuat dosa kepadaNYA.

Alangkah indahnya jika ini disedari oleh yang bergelar hamba ALLAH.

Alangkah baiknya jika hukum ALLAH ditaati. ALLAHu.

Para pembaca yang dihormati,

Atas kelalaian kita. Pejam celik mata, turun naik nafas, sedar dengan tidak sedar, kita dikejutkan dengan H1N1. Adakah ujian? Kifarah? Bala? Na’uzubILLAHi min zalik.

Ujian turun bersama rahmat, kifarah turun bersama peringatan, bala turun bersama kemurkaan.

Adakah ini satu bala? ALLAHu. Na’uzubILLAHi min zalik.

Ketahuilah bahawa kemurkaan ALLAH tidak turun secara menular perlahan-lahan, turunnya murka ALLAH, tiada apa dapat menghalang, tetapi begitu kasihnya ALLAH pada kita. Diberi dahulu ujian, masih gagal, diberi peringatan, juga terkandas, maka balalah yang menanti. ALLAHu Ya ALLAH.

Pembaca yang disegani,

AlhamduLILLAH tergerak dihati dalam sisipan qalbu, kudrat dari ALLAH mendayakan saya untuk berkongsi amalan atau cara menghindar penyakit berjangkit.

Amalan ini saya terima dari salah seorang guru saya di Pulau Pinang Tok Su Li (Masih hidup tetapi sudah uzur sekarang). Amalan ini bertujuan untuk menghindar diri dari penyakit berjangkit secara khususnya.

Boleh juga untuk merawatnya. InsyaALLAH, segalanya datang dari ALLAH, kembali kepada ALLAH jua.

************************************************************************************

Amalannya:

Yasin : 58


58. (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

1) Selepas selesai solat Fardhu, amalkan membaca Yasin : 58 sebanyak 7, 9, 12 atau 27x senafas. InsyaALLAH terhindar dari segala unsur-unsur negatif.

2) Sebelum keluar rumah amalkan membaca Yasin:58 7x senafas, insyaALLAH terhindar dari segala penyakit berjangkit ,sihir atau gangguan makhluk halus dan santau terutamanya.

3) Dalam sehari, jadikan mandian untuk menghindar dari penyakit berjangkit dan segala penyakit dengan izin ALLAH – Yasin : 58 sebanyak 77x. Ditiupkan pada air di dalam baldi. InsyaALLAH.

4) Bagi yang terkena, boleh diikhtiarkan dengan menyediakan air satu baldi:-

- Garam Bukit 3-7 sudu (bergantung kepada tahap kekronikan sakit)

-Daun pokok Ketapang 7helai

- Daun Daun pokok Ara 7helai

- Kulit pokok Rambai 7 Keping ( Ditumbuk halus)

- Daun Bidara (jika kes gangguan)

Lalu dicampurkan semuanya dalam satu baldi dengan tuangan satu persatu lalu dibacakan dengan :

a) Al Fatihah 7 kali dengan ulangan Fatihah : 4 sebanyak 7 kali setiap satu.


4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

b) Ayat Kursi 7 kali dengan ulangan ayat yang digariskan sebanyak 9 kali setiap satu.



255. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. tiada sesiapa Yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan Dengan izinNya. Yang mengetahui apa Yang ada di hadapan mereka dan apa Yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya)

c) Yasin : 58 63x.

d) 5 Qul ( Al Jin 1-5, Al Kafirun, Al-Ikhlas, Al- Falaq, An-Nas) Al Ikhlas seelok-eloknya dibaca sebanyak dalam bilangan yang berikut samada 1, 3, 5, 7, 9 atau 12x.

Maka, setelah selesai, dimandikan pesakit tadi. Adalah lebih bagus jika yang sihat mengamalkannya sekali sebulan sekurang-kurangnya kerana mengelak lebih baik dari mengubati.

************************************************************************************

Ramai juga yang tertanya-tanya, bahan-bahan di atas agak sukar untuk diperolehi jika tinggal di kawasan bandar.

Boleh saja digantikan dengan limau nipis sebanyak 7 biji dan garam bukit, jika bahan ini juga sukar diperolehi di bandar, saya dapat rasakan, pasti ada yang pelik, bandar mana yang individu tersebut tinggal?

Tidak perlu dipeningkan kepala dengan kaedah atau bahan-bahan. Yang paling penting dan utama adalah penyerahan dan pengabdian diri kepada ALLAH semata-mata. Bahan dan kaedah hanya sandaran tetapi pergantungan tetap kepada ALLAH semata-mata, tiada duanya. Ada jalan masuk, pasti ada jalan keluar, InsyaALLAH. ALLAHu Robbi.

*************************************************************************************
Sekadar tambahan, bagi yang akan menghadapi temuduga, boleh juga amalkan dengan membaca Yasin:58 7x senafas di muka pintu sebelum keluar rumah sambil membayangkan diri sendiri, lalu hembuskan nafas perlahan, isyarat menghembus diri kita yang dibayangkan itu. InsyaALLAH, semoga ALLAH memudahkan segalanya. Amin Ya Robbal A'lamin.
*************************************************************************************
Para pembaca yang dikasihi,

Inilah serba sedikit dari diri yang lemah dan jahil ini sebagai perkongsian dalam kita menghadapi masalah mutaakhir ini.

Semoga kita mendapat manfaat dari ALLAH atas segala amalan yang ikhlas menuju ke hadratNYA.

Yang baik dari ALLAH, yang buruk jua dari ALLAH sebagai menunjukkan saya adalah hamba yang tidak berdaya serta jahil tanpa dengan izinNYA.

WALLAHUALAM.

Wassalam.

Ehsan: http://terapi-alfatah.blogspot.com/search/label/Amalan

Friday, April 2, 2010

020410 Ya Allah, Sudilah pandang kami...

Ya Allah, Sudilah pandang kami...
Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan namaMu Ya Allah Yang Sentiasa Mengasihi hamba-hambaMu
Ingin aku berbicara denganMu di setiap masa yang aku ada dan di setiap tempat aku berada
Ingin aku meluahkan segala apa yang terpendam dalam hati ini
Walau aku tahu Engkau sangat-sangat memahami dan mengetahui,
Tanpa aku bicarakannya kepadaMu
Malah Engkau lebih tahu segalanya tentang aku daripada diriku sendiri
Kerana Engkau yg memiliki sekeping hati ini
Kerana Engkau lebih dekat denganku daripada urat leherku sendiri

Ya Rabbi, sudilah pandang aku
Ya Rabbi, izinkan aku menghadapMu berulang kali sehingga ke akhir hayatku.
Aku tahu..
Aku sering menghadapMu dengan wajah yang kelam, tidak berseri
Aku sering berhadapan denganMu tika jiwaku berkeluh kesah
Aku mencariMu hanya di waktu susah dan derita.
Di saat senang dan sibuk dengan dunia, aku melupakanMu.
Aku lupa bahawa hidup ini hanya untukMu
Aku leka bahawa dunia ini hanya sementara untuk aku mencari bekal sebanyaknya

Namun, di saat ini aku hadir untuk menghadapMu
Bersama dosa dan noda yang tak terhitung banyaknya
Disebabkan kelalaianku menurut hawa nafsu
Dan tertipu dengan dunia dan syaitan
Allah, pandanglah aku dengan kasih sayangMu
Pandanglah aku dengan keampunanMu
Aku sangat mengharapkan kasih sayang dan redhaMu
Kerana aku benar-benar menagih syurgaMu dan aku takut nerakaMu
Tapi, layakkah aku Ya Allah?

Ya Rabbi, seandainya di saat ini Engkau menjemputku pulang,
Bagaimanakah nantinya tika berhadapan denganMu?
Sudikah Kau menerima hamba-Mu yang hina ini?
Bagaimanakah keadaanku waktu itu??
Hitamkah wajahku bila berhadapan denganMu?
Berseri dengan sinar cahayakah wajah ini?
Berlarikah aku menujuMu kerana rindu untuk menemuiMu?
Atau menggigil ketakutan kerana takut dan malu denganMu?
Allah, aku bimbang..
Aku gusar dan takut Ya Allah..
Apabila memikirkan saat itu
Kerana banyaknya dosa aku terhadapMu.
Allah, sukarnya untuk aku meredahi cabaran dunia ini
Ingin ku buang jauh duniaku yang melalaikan
Tapi ia selalu menarik-narik hatiku untuk tetap mengulangi kesilapan terhadapMu
Kadang-kadang aku terlupa, kadang-kadang aku sengaja

Aku takut padaMu Allah tapi kenapa aku seringkali mengulangi dosa-dosa terhadapMu?
Aku sering berjanji di depanMu untuk menyerahkan hidup matiku hanya untukMu
Namun sering aku memungkiri janji-janjiku itu tanpa rasa berdosa
Aku pernah menangis keranaMu kerana takutkan azabMu
Kemudian aku ketawa semula di saat aku lupa tentangMu
Semudah itu Ya Allah aku sebagai hamba yg sebenarnya tidak layak melakukan sebegitu
Tapi Engkau Ya Allah, tetap memberi peluang untuk aku kembali padaMu
Engkau sentiasa bersedia mengampuniku...

Aku takut Ya Allah, seandainya waktu aku tiba untuk kembali padaMu
Aku dalam keadaan tidak bersedia dan penuh dengan hitam noda
Apakah yang mampu aku persembahkan di hadapanMu kelak?
Mampukah aku memulangkan segala pinjaman yang Engkau beri kepadaku dalam keadaan yg terbaik?
Allah, aku mohon dengan sangat..
Sucikanlah hati aku dengan maghfirahMu
Agar tersenyum aku pulang mengadapMu
Allah, terimalah taubatku
Agar bercahaya wajahku dengan nuurMu bertemu denganMu
Allah, pimpinlah aku dengan hidayahMu
Agar mudah jalanku ke JannahMu...

Tuhan, pegang eratlah hati ini agar sentiasa aku rasa dekat denganMu
Aku harap Kau terima amalku untuk aku persembahkan di hadapanMu kelak
Ya Allah, dengarkanlah rintihan & permohonan hatiku ini
Hadiahkanlah cahayaMu kepadku sehingga saat aku dipanggil pulang olehMu
Amiin Ya Rabb..

credit: http://cahayamukmin.blogspot.com/2008/11/ya-allah-sudilah-pandang-kami.html